Berita Harian, Komputer - 7 March 2005

Webgreen kurangkan capaian laman web porno
Oleh Hizral Tazzif Hisham

"KETAGIHAN dan capaian internet ke laman web porno boleh menyebabkan gangguan kepada pengguna internet, terutama generasi muda yang mana kajian enjin carian Alta Vista mendapati ada 14,896,710 muka laman web yang tersenarai dan ia amat mudah dicapai."


Pada masa yang sama, internet boleh disalah guna kerana International Data Corp (IDC) mendapati majikan kerugian RM11,400 setahun bagi setiap pekerjanya kerana melayari internet untuk mencari bahan yang tiada kaitan dengan pekerjaan mereka.

Pengarah SNP, Sharon Chong, berkata kawalan aktiviti internet amat perlu sama ada kepada ibu bapa atau majikan kerana jika dibiarkan, ia akan membawa ketagihan dan mendedahkan kanak-kanak misalnya kepada unsur negatif manakala pekerja pula kehilangan daya produktiviti tinggi kerana terlalu asyik melayari internet serta melihat perkara tiada berfaedah.

“Ini bukan bermakna internet tidak penting malah ia amat berfaedah kerana banyak maklumat berguna boleh didapati, tetapi penggunaan internet perlu dikawal agar ia dimanfaatkan untuk perkara berfaedah,” katanya dalam satu pertemuan dengan Komputer di Kelana Jaya, baru-baru ini

Katanya, kegiatan berkenaan perlu dikawal kerana ia boleh menimbulkan gejala kurang sihat untuk tempoh jangka masa panjang kerana kanak-kanak yang terlalu banyak terdedah kepada unsur negatif.

Beliau berkata, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) terutama perisian mampu membantu ibu bapa mengurangkan kegiatan yang tidak sihat itu dengan mengawal tempat yang boleh dilawati dan juga kandungan laman web berkenaan.

“Perisian penapisan kandungan Webgreen (www.snpgroup.com.my) misalnya, mampu memberikan kawalan yang diperlukan ibu bapa terhadap aktiviti melayari internet oleh anak mereka.

Perisian yang dihasilkan di Korea Selatan itu membolehkan ibu bapa mengetahui kegiatan melayari internet anak mereka.

“Dewasa ini, sebahagian besar ibu bapa bekerja, menyebabkan masa bersama anak agak kurang dan ini menyebabkan mereka lebih banyak memperuntukkan masa dengan internet sama ada untuk bersembang, melayari laman web atau bermain ‘games. Dengan memasang perisian ini, ibu bapa mempunyai kawalan kepada internet,” katanya.

Perisian berkenaan mudah dipasang dan hanya memerlukan satu cakera padat untuk membolehkan ia beroperasi.

Apabila dipasang, pengguna perlu memberikan kod nombor khas yang unik untuk dihantar ke Korea secara automatik dan apabila syarikat berkenaan sudah menerimanya, ia akan membalas dengan satu set nombor khas 16 digit untuk mengelakkan ia daripada disalin secara tidak sah.

Katanya, pengguna juga boleh memasukkan perkataan Melayu, Inggeris atau Tagalog ke dalam perisian berkenaan sebagai langkah untuk mengelakkan anak mereka melayari laman web yang memiliki perkataan terbabit.

“Ia juga menyediakan laporan kepada pengguna segala aktiviti yang berlaku bagi tempoh lapan minggu dan menerusi laporan audit berkenaan, ibu bapa atau majikan akan mengetahui segala aktiviti anak atau pekerja mereka,” katanya.

Perisian berkenaan diperoleh di pasaran dengan harga RM90.

+ Back to Home

Copyright 2005, SNP Group. All rights reserved.